DITOMAH PELBAGAI TUDUHAN
JOHOR
BAHRU - Hati ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang ditatang bagai
minyak yang penuh tujuh tahun yang lalu, kini ditohmah dengan pelbagai
tuduhan kononnya liar dan tidak berakhlak.
Apa lagi Nur Amalina
Che Bakri sebagai idola pada suatu ketika pernah membanggakan bukan
sahaja ibunya, Sabariah Hassan, 52, malahan juga negara sebagai Pelajar
Terbaik SPM 2004.
Ketika itu ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadikan Nur Amalina sebagai idola.
Namun kini, apabila laman Facebook peribadinya dicerobohi, nasib Nur Amalina sudah jauh berbeza.
Dia tidak lagi disanjung seperti dahulu, malah ada juga yang menuduh
pencatat sejarah dengan keputusan SPM 17A1 itu sebagai seorang anak
gadis yang berubah liar kerana mengalami kejutan budaya.
Ini
berikutan gambar peribadinya bersama rakan-rakan yang dirakam dalam
keadaan dia berpakaian yang boleh disifatkan sebagai seksi, tersebar di
Internet.
“Tidak! Anak saya bukan anak gadis yang liar. Saya
tahu dia lebih daripada orang lain. Bukan saja kerana dia anak saya,
malah kami berhubung hampir setiap malam. Malah saya juga sudah 13 kali
ke sana (United Kingdom), sejak dia menuntut di sana,” kata Sabariah
kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tuduhan kononnya Nur Amalina
yang kini berusia 23 tahun tewas dengan kejutan budaya hidup di negara
Barat hingga kini tidak lagi bertudung, juga tidak benar.
“Anak
saya memang tidak bertudung. Orang hanya tengok gambar dia semasa dia
bersekolah menengah. Waktu itu dia memang bertudung ke sekolah,”
katanya.
Nur Amalina kini sedang mengikuti pengajian peringkat
ijazah dalam dua bidang iaitu jurusan perubatan dan sains farmakologi di
University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia.
“Saya bukan semata-mata nak membela anak saya. Sebagai ibu, saya juga
tentu tak akan terima jika berlaku sesuatu yang tidak baik kepada anak
saya. Namun saya tahu dia macam mana. Gambar yang disebar itu, saya
sendiri yang rakam sewaktu kami bercuti bersama rakan-rakan anak saya di
Paris tiga tahun lalu. Malah seluar yang dia pakai itu, saya sendiri
yang beli,” kata Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan Johor
Jaya, di sini.
Sabariah berkata, tuduhan konon Nur Amalina
sudah berubah hingga mewarnakan rambut, gemar bersosial malah menjalani
kehidupan yang liar hanya fitnah pihak tertentu yang sengaja mahu
mencemarkan nama baik anaknya.
“Pelajaran anak saya tidak
terjejas pun. Dia kini dalam proses menerbitkan buku yang akan digunakan
oleh pelajar perubatan, pensyarah dan pengamal perubatan yang
dihasilkannya dengan bimbingan profesor di sana.
“Empat kajiannya telah diterbitkan sebagai jurnal dan dia akan menjalani praktikal di Oxford bermula November ini,” katanya.
Ditanya sama ada anaknya tahu mengenai gelombang fitnah itu yang mula
membadai laman maya sejak beberapa hari lalu, Sabariah berkata, Nur
Amalina yang memaklumkan kepadanya akan hal itu.
“Dia beritahu
saya malam Isnin lalu, ketika kami berhubung menerusi Skype. Ina
(Amalina) kata dia terima 800 permohonan rakan baru Facebook dari
Malaysia. Rupa-rupanya yang ramai itu kerana ada isu gambar dia. Tetapi
dia ketawa saja,” katanya.
Sabariah yakin, anaknya cukup kuat untuk menangani hal itu.
“Saya sendiri harap pengajiannya tidak terjejas. Saya pernah menitis
air mata sewaktu mengunjunginya di sana apabila melihat dia tekun ulang
kaji pelajaran hingga jam 3 pagi di perpustakaan universiti dengan hanya
ditemani pengawal keselamatan. Katanya, itu kehidupan yang dia lalui
hampir setiap hari,” katanya.
Kata Sabariah, kali terakhir mereka bertemu, 10 Disember lalu ketika dia ke sana untuk meraikan hari kelahiran Nur Amalina.
Gadis itu dijadual akan menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan Mei tahun depan.
“Kepada pihak yang sewenang-wenang melempar dan menyebar fitnah
terhadap anak saya, saya harap mereka boleh fikir dan timbang, bagaimana
jika gambar peribadi mereka sendiri, atau anggota keluarga mereka
diceroboh, disebar dan difitnah yang bukan-bukan? Saya harap mereka
dapat fikir. Itulah perasaan saya sekarang, sangat terkilan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment